Harga Kertas Naik 50 Peratus
Sekadar berkongsi informasi bersama sahabat yang turut terlibat dalam industri penerbitan.
Belum pun reda keperitan dengan kenaikan harga beras dan petrol, hari ini saya sekali lagi dikejutkan dengan berita yang ada kaitan dengan naik. Oleh kerana saya bekerja dengan industri yang berkait rapat dengan kertas, saya turut merasa terkejut dan hampir-hampir lemah jantung.
Saya baru sahaja mendapat maklum balas daripada pencetak BS Print (M) Sdn Bhd melalui Cik Kavitha mengatakan harga baru kos percetakan buku akan berkuat kuasa minggu hadapan selepas mereka membuat penyelarasan kenaikan harga kertas yang baru. Berkemungkinan perbezaan harga dahulu dengan harga baru adalah sebanyak RM0.50 ke atas.
Sebenarnya kenaikan ini sudah bermula Ahad lepas apabila berlaku kenaikan harga kertas di kedai alat tulis, meningkat daripada RM10.50 kepada 12.55 satu rim.
Ingin penjelasan lanjut dalam berita NTV7 klik link ini : http://www.youtube.com/watch?v
ARKIB Utusan Malaysia: 22/06/2008
Harga kertas naik 50 peratus
PETALING JAYA 21 Jun - Harga kertas, alat tulis, percetakan dan pembungkusan dijangka terus naik sehingga mencecah 50 peratus tahun ini.
Presiden Persatuan Pedagang Kertas Malaysia (MaPMA), Alvin Goh Kheng Jiu berkata, kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan ekoran kenaikan harga minyak dan barangan lain ketika ini.
''Kenaikan harga kertas cetak kini mencecah AS$1,050 (RM3,412) bagi setiap tan metrik bakal menjejaskan kos operasi syarikat penerbitan dan percetakan.
''Dua tahun lepas, satu tan metrik kertas putih saiz A4 boleh dibeli dengan harga AS$800 (RM2,600) sahaja,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan MaPMA yang dihadiri oleh para pengedar dan pembekal kertas, alat tulis dan mesin cetak di sini hari ini.
Beliau membuat kenyataan mewakili tiga lagi persatuan iaitu Persatuan Percetakan Cina Wilayah Persekutuan dan Selangor (SFTCPPA), Persatuan Mesin-mesin Cetak Malaysia (MPA) dan Persatuan Penerbit Buku dan Alat Tulis Kuala Lumpur dan Selangor (SKLSBA).
Sementara itu, Pengarah Urusan Ajensi Riaz Sdn. Bhd. Ramjan Din berkata, kenaikan harga kertas juga berpunca daripada dominasi harga pasaran oleh syarikat pengeluar kertas terbesar di dunia, Kumpulan Sinar Mas dari Indonesia.
''Syarikat tersebut menghadapi masalah kekurangan bahan mentah iaitu pulpa, ekoran sekatan penguat kuasa terhadap pemotongan pokok di hutan.
''Memandangkan seluruh negara Asia bergantung kepada pengeluaran kertas dari negara itu, maka berlakulah monopoli harga yang mengakibatkan kenaikan harga kertas di pasaran tempatan sekarang,'' katanya.
Dalam pada itu Alvin berkata, persatuan-persatuan di dalam industri berkenaan menyarankan kerajaan memansuhkan duti import dari negara Asia sebanyak lima peratus dan dari negara bukan Asia sebanyak tujuh peratus terhadap kertas untuk percetakan dan kertas putih saiz A4.
Saranan tersebut, katanya, dibuat supaya pengimportan kertas tidak dimonopoli oleh satu pihak sahaja dan terbuka kepada syarikat pengeluar kertas dari Eropah dan dengan itu, harga kertas akan menurun.
Sebagai editor, saya turut berasa gusar dengan kenaikan harga yang mendadak ini. Akal terus berputar mencari jalan supaya diri dapat mengadaptasi keadaan ini menjadi positif. tetapi bagaimana ya? Berfikir dan terus berfikir.
Entri seterusnya saya akan kemukakan komen dan kesan kenaikan harga kertas kepada orang awam yang mereka rasa mereka tidak terlibat dengan kenaikan harga kertas antarabangsa.

1 comments:
PTS kan kaya!ahaks!
Post a Comment