Thursday, June 28, 2007

Akar dan Bumi

Tinggi-tinggi kelapa bali

Kental berdiri akar di bumi

Walau bermusim di terik mentari

Tidak sekali lupakan diri

Bila menari dongak ke langit

Langkahmu sumbang salahkan bumi

Silap sendiri tak dipeduli

Pentingkan diri membuta tuli

Baru tergadah menyesali diri


Ikutkan rasa kelak binasa

Kerana hati membawa hati

Pentingkan dosa sumpah bertakhta

Maka ilusi menjadi mimpi

Panasnya diri bagai dibakar api


Rimbun-rimbun pohon dedalu

Tinggi di atas sombongkan diri

Pandang langit lupa bumi

Menumpang menunggu mati


Tetamu senja: Alangkah beruntungnya kepada mereka yang sentiasa berfikir pada setiap penciptaan Allah. Setiap satunya mengajar erti kehidupan dan tersembunyi hikmah penciptaan yang unik.

Bicara Diri pada Diri

Sayang, cinta yang sejati itu menyembuhkan, tidak menyakitkan. Jika kamu rasa cinta yang kamu alami sekarang menyakitkan dan kamu merana kerananya, itu adalah tanda cinta bukan cinta yang sebenar.

Cinta amat menyakitkan apabila diduga dengan perpisahan. Hampir semua orang rasa sakit dan berputus asa apabila berpisah. Betul katamu cinta itu memang bukan segala-galanya tetapi kehilangan cinta seperti kehilangan segala-galanya.

Benar, mencintai makhluk memang berpotensi besar mengalami kehilangan kerana setiap makhluk sudah dijanjikan dengan kematian yang pasti. Dan mungkin juga berpisah disebabkan cinta ditolak kerana hati manusia mudah berbolak-balik. Bukankah itu semua sudah dijelaskan dalam Quran dan kamu sendiri sudah diberitahu oleh guru dan sahabatmu di sekolah?

Sebaik-baiknya apabila kamu bercinta, harus sematkan dalam hatimu bahawa setiap yang dicintai tidak akan kekal lama. Namun terkadang cinta itu membutakan kenyataan dan melekakan sehingga kenyataan itu tidak kelihatan walaupun jelas di hadapan matamu. Kamu hanya tersedar sesudah perpisahan itu terjadi. Dan lantas kecewa sehingga kamu sanggup menyalahkan takdir.

Puncanya, kamu sendiri sudah tahu. Kamu mendahulukan cinta makhluk daripada cinta Allah. Kerana itulah apabila kamu kehilangan cinta makhluk, kamu rasakan hilang segala-galanya. Sedangkan Allah tidak pernah berpisah denganmu.

Sebelum kamu mencintai seseorang, kamu harus bersedia menerima dua kemungkinan, sama ada diterima ataupun ditolak. Apabila ditolak, amat perit sakitnya. Apabila diterima, kamu teramat gembira sehingga merasakan seperti dunia ini kamu yang punya. kegembiraan itulah yang membuta dan melekakan kamu daripada hakikat yang setiap cinta makhluk itu sudah dijanjikan perpisahan. Kamu lupa segala-galanya kerana cinta itu membutakan.

Sebaik-baiknya setiap pertemuan dan permulaan kasih itu sudah disemat kukuh bahawa cinta makhluk tidak pernah ada yang kekal. Semua manusia akan mati termasuk kamu, saya, dia dan semua makhluk yang hidup. Sebaik-baiknya juga utamakan cinta Allah kerana ia tidak akan berpisah denganmu. Tidak akan ditolak malah cinta ini pasti diterima walaupun sejahat mana pun kamu. Apabila kamu mencintai Allah, kamu tidak akan pernah rasa kehilangan. Allah tidak akan pernah melupakan kamu, sebaliknya kamulah yang membuat pilihan untuk sering melupakan dan membiarkan cinta ini.

Tidak akan ada sesiapa pun yang mampu merebut cinta ini daripada kamu. Tidak akan ada juga yang merampas Allah daripada kamu. Jika kamu bermesra dengan Allah, kamu tidak akan pernah terpisah denganNya. Allah juga tidak pernah berpisah dengan kamu kecuali kamu sendiri yang memilih untuk berpisah denganNya. Inilah cinta yang paling menyembuhkan dan membahagiakan. Berbahagialah orang yang menyedari hakikat cinta ini.

Nah, sekarang pilihan ada di tanganmu. Pilihlah sama ada ingin hidup bahagia ataupun derita. Pandai-pandailah memilih cinta kerana Allah sudah berikan kamu akal dan hati untuk menilai. Jangan hanya dinilai dengan mata kasar. Nilailah dengan mata hati dan akal berlandaskan redha Ilahi. Pasti kamu tidak akan kecewa lagi.

Pesanan terakhir, jangan takut melepaskan cintamu yang menyakitkan bagi meraih cinta sejati yang mendamaikan. Bahagia di dunia belum menjamin kamu bahagia juga di akhirat. Cinta sejati tidak menzalimi, cinta sejati berorientasikan Ilahi. Utamakan cinta Allah, cinta manusia akan datang selepas itu. Jangan khuatir jika belum berjumpa cinta sejati daripada manusia apabila kamu sudah berjumpa cinta sejati daripada Allah.


Tetamu senja: Kerana itulah aku masih di sini mencari dan terus mencari cinta sejati redha Ilahi.

Tuesday, June 19, 2007

Penampar banyak makna

Ada seorang pemuda yang lama belajar di luar negeri kembali ke tanah air dengan angkuh dan sombong. Dalam kepalanya sudah lama tersimpan 3 pertanyaan yang dianggapnya tiada siapa yang dapat menjawab. Satu hari beliau bertemu seorang imam tua di kampungnya.

Pemuda: Pak imam, adakah pak imam dapat menjawab pertanyaan-pertanyaan saya?


Pak Imam: Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan menjawab pertanyaan kamu!


Pemuda: Pak imam yakin? Profesor dan banyak orang pintar yang saya tanya tidak mampu menjawab pertanyaan saya.


Pak Imam: Saya akan mencuba sejauh kemampuan saya, insyaAllah.


Pemuda: Saya ada 3 pertanyaan


1. Jika benar Tuhan itu ada, tunjukkan kewujudan Tuhan kepada saya?

2. Apakah yang dinamakan TAKDIR?

3. Jika syaitan diciptakan daripada api, kenapa mereka dimasukkan ke neraka yang dibuat daripada api? Tentu tidak menyakitkan buat syaitan, sebab mereka memiliki unsur yang sama. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?


Dengan sepontan Pak Imam itu menampar pipi si pemuda itu dengan kuat.

Pemuda: (sambil menahan sakit) Kenapa pak imam marah kepada saya?


Pak Imam: Saya tidak marah. Tamparan itu adalah jawapan saya bagi 3 pertanyaan yang saudara tanyakan kepada saya.


Pemuda: Saya tidak faham...


Pak Imam: Bagaimana rasanya tamparan saya?


Pemuda: Tentu sahaja saya rasa sakit dan pedih!


Pak Imam: Jadi awak percaya sakit itu ada?


Pemuda: Ya...


Pak Imam: Tunjukkan pada saya kewujudan sakit itu dan bagaimana rupanya!


Pemuda : Tidak boleh pak imam!


Pak Imam : Itulah jawapan kepada pertanyaan pertama saudara, kita semua merasakan kewujudan Tuhan itu tidak mampu melihat kewujudanNya.


Pak Imam: Adakah malam tadi awak bermimpi ataupun sudah tahu saya akan menampar saudara?


Pemuda: Tidak.


Pak Imam: Adakah saudara pernah terfikir akan menerima sebuah tamparan daripada saya hari ini?


Pemuda : Tidak!


Pak Imam : Itulah yang dinamakan TAKDIR.


Pak Imam : Diperbuat daripada apakah tangan yang saya gunakan bagi menampar saudara ini?


Pemuda: Kulit dan daging.


Pak Imam: dibuat daripada apakah pipi saudara itu?


Pemuda: Kulit dan daging.


Pak Imam: Bagaimana rasanya tamparan saya?


Pemuda: Sakit dan pedih.


Pak Imam: Itu jawapan bagi soalan yang ketiga. Walaupun syaitan dijadikan daripada api dan Neraka dijadikan daripada api, apabila Tuhan berkehendakkannya maka Neraka akan menjadi tempat yang menyakitkan bagi syaitan walaupun sama unsur kejadiannya.



Tetamu Senja: Islam boleh diajar dalam banyak cara. Tetapi berhati-hati apabila hendak menampar orang. Kadang-kadang ada orang menampar bukan sebab hendak mengajar, melepaskan geram mungkin.

Cinta dan kereta

Kawan aku cakap kehidupan itu umpama membawa kereta. “Kita akan lihat ke hadapan dan sesekali kita akan melihat cermin sisi.”

Aku yang memang blur ni bertambahla blurnya. Apo bondo ei yang kawan aku cerita ni... “Apa kaitannya dengan hidup?”

Gini, Ibaratkan yang di hadapan itu tempat arah tuju kita... akhirat la maknanya sbb tujuan kita hidup kan untuk akhirat. Dan cermin sisi itu sebagai dunia.”

Dah tu?” Aku yang memang tak sabar ni mencelah.

Hish... awak ni memang blur ke malas hendak fikir?”

Hehehe... (sengeh ala-ala kerang wangi.)”

Ok, kalau kita bawa kereta tu, mcm awak bawa Myvi auto awaklah, awak akan pandang ke hadapan dan sesekali akan lihat cermin sisi.”

Ok... ok... Saya faham sekarang. Kalau... eh... Pn Ainon tak bagi guna 'kalau'... Jika kita asyik pandang cermin sisi @ dunia, haluan kita akan tersasar dan kemungkinan kita terlanggar halangan di hadapan. Sebab itulah kita kena fokus ke hadapan supaya halangan tidak tersasar tetapi kena juga sekali-sekala pandang cermin sisi.”

Ha... pandai pun.”
“Pernah tak awak dengar orang kata, kadang-kadang orang gila lebih bijak daripada orang biasa? Orang blur pun kadang-kadang dapat hidayah juga tau.”


Tetamu senja: Bukan Baba Donut sahaja yang sudah dapat hidayah tau... (Jangan marah ye Baba Donut).


Sunday, June 10, 2007

Indahnya Poligami


Buat semua pembaca...MOGA KITA BERLAPANG DADA

Bahan ini dipetik daripada blog yang saya lawati dua tahun yang lepas. Saya sudah lupa linknya tetapi apa yang hendak disampaikan amat bermakna untuk dijadikan panduan.

Berpoligami mudah dilaksanakan jika lelaki dan wanita benar-benar faham akan perlaksanaannya dalam Islam. Poligami adalah hukuman yang datang daripada Allah untuk umatnya supaya masyarakat hidup aman damai dalam institusi keluarga. Hukuman yang Allah turunkan memang sudah cantik dan lengkap namun lelaki & wanita tidak berjaya melaksanakannya dengan baik.

Poligami ini diibaratkan sebuah projek yang melibatkan seorang lelaki dan 2 orang wanita sebagai ketua & ahli yang dinamakan Projek Rumahku Syurgaku. Oleh itu, perlulah ada persefahaman iman, akal dan nafsu semasa hendak menjayakan projek ini. Apabila salah seorang ahli ataupun ketua menyalahgunakan salah satu daripada iman, akal dan nafsu, maka projek ini tidak berjaya. Sebaik-baiknya bagi menjayakan projek ini sebagai projek yang sukses di dunia dan akhirat, iman dan akal perlu mengawal nafsu.

Berpoligami memang dibenarkan oleh Allah kepada lelaki dalam surah an-Nisa ayat 3
"Nikahilah oleh kamu wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga, ataupun empat. Tetapi, jika kamu bimbang tidak akan dapat berlaku adil, maka nikahilah seorang sahaja ataupun kamu nikahi budak-budak (hamba) yang kalian miliki. Hal itu adalah lebih dekat pada sikap tidak berbuat aniaya.”

S: Ustaz, Suami saya ingin berpoligami ustaz, apa kurangnya saya ustaz sehingga dia hendak berpoligami lagi. Tidak cukup satu, dia hendak tambah isteri pula?

J: Tujuan berpoligami tidak semestinya hendak menunggu kekurangan isteri baru boleh berpoligami. Antara tujuan murni berpoligami adalah suami hendak ikut apa yang Tuhan anjurkan di dalam Quran. Sebab hendak tegakkan sunnah Rasulullah. Sebab hendak ikut tradisi orang soleh.

S: Tapi ustaz, yang ini hendak ikut sunnah, yang lain tidak pula ikut.

J: Yang dia sembahyang, puasa itu bukankah bermakna dia sudah ikut sunnah! Apabila dia menutup aurat, menuntut ilmu, berniaga itu juga ikut sunnah. Jadi jangan mudah-mudah cakap suami tidak ikut sunnah. Jadi apabila dia hendak tegakkan sunnah poligami ini, itu tidak sepatutnya kita halang.

S: Yalah ustaz, masalahnya bolehkah dia adil?

J: Jangan kita sebut soal adil dahulu, sebab kita tidak tahu lagi. Sepatutnya kita berbaik sangka dengan Allah moga Allah beri kekuatan kepada suami kita menjadi orang yang adil. Selepas itu, tugas kita pula membantu suami menjadi adil. Bukan kita main lepas tangan. Mungkin kita hendak tutup kelemahan kita, kita tuding jari suami tidak adil sedangkan dia belum lagi berpoligami, sudah kita label dia sebagai tidak adil dalam berpoligami. Sebaik-baiknyalah kita menyebut kita lemah dan tidak mampu hendak berpoligami daripada terus menghalakan kerisauan kepada suami. Sepatutnya kita halakan pada diri, masalah aku bagaimana? Seperkara yang kita perlu ingat, soal adil ini, ada seorang isteri kena adil. Dua isteri pun kena adil. Soal adil ini luas dan tidak perlu tunggu poligami baru timbul soal adil.

S: Bukan apa ustaz, saya sayang sangat pada dia. Tidak gamak saya hendak lepaskan dia pada orang lain.

J: Saya hendak betulkan sedikit. Bukan lepaskan terus. Ia sekadar berkongsi kasih sayang. Kalau dulu kita seorang sahaja yang menyayanginya atas nama isteri. Tetapi kali ini sudah ada orang lain, yang juga menyayanginya atas nama isteri. Saya hendak tanya, apa erti sayang? Sayang ertinya pengorbanan. Jangan sebut sayang ataupun cinta selagi tidak berkorban. Sanggupkah kita mengorbankan kasih kita itu? Kalau boleh, barulah bermakna sayang kita itu.

Seperkara lagi, erti sayang itu ialah apabila kegembiraan dia juga menjadi kegembiraan kita.
Kesedihan dia pula menjadi kesedihan kita. Sepatutnya hati kita selari dengan suami kita. Kalau suami kita hendak berpoligami, tumpang gembiralah. Itu kesukaan suami kita dan syariat pun membenarkannya. Tetapi saya tidak menafikan, perkara yang lain mungkin senang. Tetapi bab ini susah sedikit.

S: Saya bimbang ustaz, dengan isu yang digembar-gemburkan dalam akhbar berkenaan lelaki yang berpoligami menganiaya isteri.

J: Jangan sebut begitu, sekali lagi ditekankan di sini, berbaik sangkalah dengan Allah. Jangan kita samakan nasib kita dengan orang lain. Bergantung haraplah pada Allah. Yakinlah kita dengan Allah, Dia yang menentukan segalanya. Oleh itu, mintalah kebaikan daripada Dia. Tambahan pula, kisah rumah tangga porak-peranda tidak semuanya berlaku dalam poligami. Yang tidak berpoligami pun biasa kita dengar, porak-peranda juga. Tinggal lagi, akhbar memang suka highlight yang poligami sahaja. Bahkan banyak kes yang tidak berpoligami di mana suami menganiaya isteri. Ini tidak pula dipaparkan.

S: Dengan saya seorang pun, dia susah ustaz. Jadi macammana pula hendak poligami, tidakkah nanti lagi susah hidup dia.

J: Itulah yang disebutkan tadi, segalanya daripada Allah. Yang mula-mula puan kahwin dengan dia dulu, ada ataupun tidak puan fikir tentang hidup susah. Mestilah atas dasar yakin yang boleh hidup senang. Segalanya ketentuan Allah. Rezeki itu daripada Allah. Ibu-ibu boleh melahirkan anak, kerana mereka yakin rezeki Allah pada anak-anak. InsyaAllah, ada rezeki untuk orang yang berpoligami.

Sejarah juga membuktikan sahabat-sahabat dan para tabiin berpoligami tetapi mereka tidaklah mati kebuluran kerana berpoligami. Susah senang ini bukan pada ukuran poligami. Ada yang isteri seorang pun merempat juga. Sebaliknya ada juga yang isteri 4, boleh hidup senang. Tidak perlu tunggu suami gaji RM10,000. Memang Allah sudah janjikan sebegitu.

S: Baiklah ustaz, tetapi apapun dia kena minta izin saya dahulu. Saya isteri pertama dia, kalau saya tidak izinkan, mana boleh dia poligami.

J: Itu undang-undang syariah negeri tetapi tidak ada disebut pun dalam Quran mahupun hadis. Soal keizinan tidak timbul sebab dalam Quran, Allah sudah izinkan. Rasulullah pun sudah izinkan malah diamalkannya pula. Jadi, siapa kita? Takkan kita pula tidak izinkan? Siapakah kita hendak mempersoalkan hukum yang Allah sudah tetapkan? Boleh nampak ataupun tidak?

S: Memang berat ustaz. Baiklah saya mengaku saya tidak mampu menghadapi semua ini.

J: Sebenarnya inilah jalan untuk wanita seperti puan meningkatkan darjat puan. Jika setakat ada suami dan puan pun pergi kerja balik kerja, mungkin hidup puan tidak ada banyak ujian dan cabaran. Tetapi apabila berpoligami, puan kena banyak mujahadah. Maksudnya ada ujian. Puan ada rasa tercabar. Puan perlu banyak bersabar. Di sinilah peningkatan untuk puan, insyaAllah. Mana yang lebih besar, suami puan ataupun peningkatan puan di sisi Allah? Di sini baru terserlah kebaikan poligami sebab ia satu cara hendak meningkatkan takwa. Jika dengan ibadah mungkin prosesnya lambat. Tetapi dengan poligami, ia menjadi cepat.

S: Terima kasih ustaz. Berikanlah nasihat akhir ustaz pada saya.

J: Mengapa puan jadi begini sebab selama ini? Sebabnya bagi puan, suami itu adalah segala-galanya. Itu perlu diubah. Suami bukan segala-galanya. Sebaliknya, Allah adalah segala-galanya. Ketahuilah kita, selama ini kita sudah membesarkan perkara yang kecil. Suami itu sekadar hadiah daripada Allah untuk kita. Dia boleh datang dan pergi dalam hidup kita. Tetapi jangan sampai Allah kita pinggirkan ataupun kita kesampingkan. Jika tidak berlaku poligami, kita tidak nampak perkara ini. Usahakan supaya kita kuat dengan Allah, insyaAllah nanti kita akan kuat menghadapi perkata dunia seperti poligami. Berdoalah pada Allah dengan doa ini:

"Ya Allah! Aku mahukan redhaMu Tuhan. Seandainya dengan poligami ini aku akan mendapat redhaMu, aku bersedia. Namun, aku lemah ya Allah, aku tidak mampu. Kau bantulah aku ya Allah bagi menghadapi poligami ini. Bantulah aku supaya aku berbaik-baik dengan maduku. Dan bantulah aku untuk sentiasa dapat menyenangkan suamiku. Juga, bantulah suamiku untuk menjadi kuat denganMu ya Allah, moga-moga dengan itu, dia dapat berlaku adil kepada isteri-isterinya.
Moga-moga dengan itu, kami sekeluarga mendapat kebahagiaan yang hakiki daripadaMu."

Tetamu senja: Antara tanda keberkatan seseorang wanita itu ialah, cepat perkahwinannya,cepat pula kehamilannya dan ringan maharnya.

Tanggungjawab

Kita diberi kehidupan untuk menunaikan satu tanggungjawab.

Dan kita juga menemui kematian kerana telah dilepaskan tanggungjawab.

Tanggungjawab itu hanya dilepaskan dalam dua keadaan:

1. Apabila kita sudah selesai menunaikan tanggungjawab.
2. Apabila kita sudah tidak mampu memikul tanggungjawab.

Maka selepas itu, tiada guna lagi kehidupan dan mati adalah yang terbaik.

Tetamu senja: Masih tertanya, adakah apa yang dilakukan selama ini mematuhi tanggungjawab yang diamanahkan.

Friday, June 8, 2007

Hidup hanya untuk 3 hari


Dalam meniti hidup ini, sebenarnya kita hanya dibekalkan dengan TIGA hari sahaja:

Hari Semalam: Yang kita tidak mungkin boleh mengubah satu pun yang sudah terjadi. tidak boleh menarik kembali perkataan yang sudah terucap. Tidak mungkin lagi menghapus kesalahan dan mengulangi kegembiraan yang sudah kita nikmati kelmarin. Biarkan sahaja hari semalam pergi. Lepaskan sahaja dan usah ditangisi kerana segala-galanya tidak bermakna lagi. Ia hanya berguna sebagai pedoman dan pengalaman untuk menghadapi hari ini dan esok.

Hari Esok: Sehingga mentari esok hari terbit, kita tidak tahu apa yang bakal terjadi. Kita tidak mampu melakukan apa-apa untuk hari esok. Kita tidak mungkin tahu sama ada kitasedih ataupun ceria pada hari esok. Esok adalah hari yang belum tiba. Biarkan saja ia dan seelok-eloknya tidak difikirkan sangat apa yang bakal terjadi esoknya kerana ia akan meresahkan hidup hari ini.

Yang tersisa kini hanyalah HARI INI. Pintu masa lalu sudah tertutup rapat. Pintu masa depan pula belum jelas terpancar keterbukaannya. Pusatkan sahaja diri kita untuk hari ini. Kita dapat mengerjakan lebih banyak hal hari ini apabila kita mampu memaafkan hari semalam dan melepaskan ketakutan untuk hari esok. Hiduplah hari ini kerana masa lalu dan masa depan hanyalah permainan fikiran yang rumit. Hiduplah dengan apa adanya kerana yang ada hanyalah hari ini. Kerana semalam tidak berfungsi lagi dan esok belum pasti.

Tetamu senja: Semalam adalah pengalaman, hari ini adalah ketentuan dan esok adalah cabaran.

Always remember


Always Remember
When things are down
And you are out of your mind
Remember, just remember
Allah is The Kind.

When your life is in darkness
And nothing is right
Remember, just remember
Through the darkness, Allah is The Light.

When nothing makes sense
And your heading for demise
Remember, just remember
It doesn't make sense,
but Allah is The Wise.

When times are troubled
And no one seems to care
Remember, just remember
Allah won't hurt you, He is The Fair.

When your heart is breaking
And your pain makes you fall
Remember just remember
Allah Sees it all.

When you are weak
And the road seems long
Remember, just remember
Seek strength from The Strong.

When life is a burden
And everything is unstable
Remember just remember
Allah is The Able.

When the way is cloudy
And there is no one by your side
Remember just remember
Allah is The Only Guide.

When no one wants to listen
Or is willing to lend an ear
Remember just remember
Allah is always ready to hear.

Friday, June 1, 2007

Cinta datang dan pergi

Sekiranya kita dicintai oleh seseorang yang tidak kita cintai, anggaplah ia satu penghormatan buat diri kita, oleh itu kembalikan penghormatan itu dengan cara yang ikhlas dan jujur.

Jangan ambil kesempatan dan janganlah melukakan. Bagaimana kita mengurus cinta, begitulah kita mengurus diri kita dan setiap hati dan perasaan mengalami kepedihan dan kebahagiaan yang serupa walaupun cara kita mengendalikannya berbeza.

Sekiranya kita bercinta dengan orang yang begitu mencintai diri kita dan tiba-tiba cinta memilih untuk pergi, tiada siapa yang harus dipersalahkan, relakanlah cinta itu pergi.

Kerana setiap yang berlaku ada maksud yang tersembunyi. Dan kita akan menyedarinya apabila masa silih berganti. Janganlah terlalu memilih cinta kerana cinta itu sendiri akan memilih untuk singgah di hati sesiapa yang sudah ditetapkan Allah. Kita hanya perlu menerima kehadiran cinta itu dengan segala misteri di dalamnya apabila ia datang mengetuk pintu hati kita.

Nikmatinya sebagaimana ia membuat hidupmu bahagia dan bebaskan ia. Cinta sentiasa dan selamanya akan menjadi misteri. Bersyukurlah kerana ia pernah singgah di hati kita walau hanya sekelip mata cuma.

Cinta dunia pasti akan pergi, pergi kerana berpisah hidup ataupun berpisah mati. Tetapi yang pasti, mati itu satu perpisahan yang pasti berlaku. Berkasihlah sekadarnya kerana cinta itu hanya dipinjamkan sebentar oleh Allah.


Tetamu senja: Cinta adalah satu perasaan yang unik untuk diungkapkan, sukar untuk dilafazkan dengan kata-kata dan susah untuk ditunjukkan dengan perbuatan tetapi mereka yang memahami erti cinta akan dapat menikmati rasa cinta yang penuh makna. Kita berhak menyayangi seseorang tetapi kita tiada hak memaksa seseorang untuk menyayangi kita.

MUDAHNYA MENCARI ISTERI SOLEHAH

Perbualan antara dua orang sahabat yang baru berkenalan selepas menghadiri Seminar Keluarga Bahagia.

ABC: Susah betul hendak cari isteri solehah. Macam hendak cari gagak putih.


Alifbata: Memang sudah hukum dunia, yang berharga itu susah hendak dapat. (Cuma tersenyum) saudara sudah kahwin?


ABC: Belum lagi.


Alifbata: Kenapa? Belum dapat yang solehahkah?


ABC: Saya sudah 28 tahun. Sepatutnya umur 25 sudah kahwin… maknanya sekarang ini saya sudah terlajaklah.


Alifbata: Oh, begitu..... biar terlajak usia, jangan tersalah pilih! (sambil mengusik)


ABC: Hendak cari yang betul-betul solehah bukan senang.


Alifbata: Kalau tidak jumpa, macam mana?


ABC: Itulah yang saya pening sekarang ini. Syarat-syarat yang saya buat ini susah sangatkah?


Alifbata: Apa syaratnya?


ABC: Syarat-syarat wanita solehah… mesti solat, taat ibu bapa, berakhlak, tutup aurat, pandai mengaji, puasa sunat….


Alifbata: Macam itu tidaklah susah… ramai yang ada syarat-syarat macam itu.


ABC: Itu yang lahiriah. Yang paling penting bertakwa.


Alifbata: Macam mana pula hendak ukur takwa itu?


ABC: Itu yang pening. Takwa itu dalam hati. Ini soal hati. Tetapi apa boleh buat, saya hendak juga isteri solehah, isteri yang bertakwa!


Alifbata: Mahukah sekiranya saya bagi tip mudah hendak dapat isteri solehah?


ABC: Saya tidak faham. Bagaimana kita boleh nilai calon isteri tanpa menilai syarat-syaratnya? Bukankah itu panduan daripada hadis?


Alifbata: Untuk dapat isteri solehah, jadikan diri kita dahulu calon suami soleh. Cuba cari ciri-ciri suami soleh, bina semua ciri itu dalam diri kita. Bina sahsiah, lahiriah seorang lelaki soleh kemudian muhasabah pula soal hati. Ukur iman dan takwa kita.


ABC: Hendak ukur iman & takwa kita? Susah tu. Itu soal maknawi.


Alifbata: Tetapi, jauh lebih mudah daripada hendak ukur iman dan takwa orang lain. Semuanya terletak pada diri kita sendiri. Lebih cepat kita bina sifat-sifat lelaki soleh, tingkatkan iman dan takwa… lebih cerahlah peluang untuk dapat isteri solehah. Semuanya atas usaha kita sendiri. Sebelum ini, kita selalau bincang berkenaan menilai diri orang lain. Itu yang kita silap. Bukankah Allah sudah jamin, lelaki beriman untuk wanita beriman Lelaki soleh jodohnya wanita solehah. Insya-Allah.


ABC: Jika begitu, saya kenalah berhenti cari wanita solehah kerana hendak jadi lelaki soleh?


Alifbata: Bukan begitu. Lebihkan hendak jadi lelaki soleh sambil itu teruslah cari isteri solehah.


ABC: Ok juga kalau begitu! Serampang dua mata.


Alifbata: Satu lagi, berpada-padalah dengan piawai solehah saudara itu. Jangan terlalu tinggi. Nanti tidak tercapai. Cukuplah dengan tahap sederhana.


ABC: Maksudnya?


Alifbata: Jangan terlalu ideal menilai calon isteri kerana sifat-sifat solehah itu on going process (dibina secara berterusan). Mungkin sebelum kahwin tahapnya rendah sedikit, tetapi dengan pimpinan suaminya nanti, tahap solehahnya boleh diupgradekan lagi.


ABC: Boleh lebih kuranglah kalau macam itu ya?


Alifbata: Cara itu salah. Panduan dan ajaran islam mudah. Tetapi bukan alasan untuk dipermudahkan.


ABC: Apa kaitannya dengan perkara yang kita bincang sekarang ini?


Alifbata: Begini, saudara perlu lebih ketat dalam menilai diri saudara. Jangan ambil mudah soal iman & takwa diri saudara. Letakkan piawai tinggi untuk diri saudara. Bukankah lelaki akan jadi pemimpin rumahtangga? Penilaian calon isteri sepatutnya rendah sedikit. Nanti senanglah hendak bentuk apabila sudah jadi isteri kita sendiri.


ABC: Oh, baru saya faham.


Alifbata: Baguslah jika begitu. Sayangnya kebanyakan lelaki menilai sebalikya. Untuk dirinya dinilai dengan piawai soleh yang rendah. Tetapi untuk calon isterinya dinilai dengan solehah yang tinggi. Itulah silapnya.


ABC: Alhamdulillah, saya harap jodoh saya akan tiba nanti.


Alifbata: Amin. Tamatkanlah penantian solehah itu dengan mempercepatkan pembinaan soleh diri.


Tetamu senja: Bertanya kepada diri sendiri, adakah aku sudah cukup baik untuk mengharapkan yang terbaik? Kita memang pandai menilai orang lain dan kita selalu lupa untuk menilai diri sendiri.

Ramai Orang Kenal Diri Orang, Tapi Tidak Kenal Diri Sendiri, Sebab Itu Orang Sibuk Memikirkan Kecacatan Orang Lain Daripada Kecacatan Diri Sendiri!

Andainya Aku Jatuh Cinta

Dengan nama Allah aku bermohon...

Ya Allah, sekiranya aku jatuh cinta, cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu, supaya bertambah kekuatanku untuk menyintaiMu.

Ya Muhaimin, sekiranya aku jatuh hati, izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu supaya aku tidak terjatuh dalam jurang cinta nafsu.

Ya Rabbana, sekiranya aku jatuh hati, jagalah hatiku padanya supaya tidak berpaling daripada hatiMu.

Ya Rabbul Izzati, sekiranya aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalan Mu.

Ya Allah, sekiranya aku menikmati cinta kekasihMu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malamMu.

Ya Allah, sekiranya aku jatuh hati pada kekasihMu, jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu.

Ya Allah sekiranya Kau halalkan aku merindui kekasihMu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu.

....Amin.....


Tetamu senja:

Yang Dicari bukan putera raja,
Tetapi biarlah putera agama.

Yang diimpi biarlah tidak punya rupa,
Asal sejuk dipandang mata.

Yang dinilai bukan sempurna sifat jasmani,
Asalkan sihat rohani sempurna hati.

Yang diharap bukan jihad pada semangat,
Asal perjuangannya ada matlamat.

Yang datang tidak perlu perwira dengan silam yang gemilang,
Kerana diriku penuh dengan silam yang kelam.

Dan yang akan terjadi, andai tidak sama kehendak hati,
hamba redha ketetapan Ilahi.

Alhamdulillah ku syukuri atas setiap ketentuan yang diberi,
Kerana Allahlah kekasih abadi.


Blogspot Template by Isnaini Dot Com. Powered by Blogger and Supported by Home Interiors