Al-Fatihah buat mangsa nahas Nuri Genting Sempah 13/07/07 terutama buat Allahyarham Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad, Suami kepada sahabatku Raslah Hussin.
Hari ini genap dua minggu kejadian nahas Nuri di Genting Sempah. Nahas ini turut menjadi perhatianku dan hatiku pilu setiap kali menatap berita berkenaannya. Satu sms dari sahabat di Kuching membuatkanku memberi perhatian yang lebih pada tragedi ini.
Aku terduduk semasa mendapat sms ini. Terkejut dan masih tidak percaya berita itu. Hari berikutnya aku sms semula kawan itu bagi mendapatkan kepastian dan akhirnya aku terpaksa mempercayainya apabila akhbar menyiarkan gambar beliau menyiram pusara suami tersayang.
Raslah yang ku kenali seorang yang tabah, bijak dan berdikari. Kali terakhir aku bertemu dengannya adalah dua tahun lepas di Puduraya semasa aku menunggu bas balik ke kampung. Dia bersama suaminya Laskar Udara Muhammad Riduan pada masa itu baru sahaja beberapa bulan berkahwin. Aku hanya melihat sekilas sahaj ke arah suaminya semasa itu kerana beliau berdiri agak jauh daripada kami. Malu mungkin.
Dan tidak ku sangka itulah kali pertama dan terakhir ku melihat wajahnya. Semoga Allah menempatkan beliau bersama orang-orang yang dikasihi dan diberi rahmat.
Kepada Kak Raslah: Sungguh, ketabahanmu merelakan pemergian suamimu dengan hati yang pasrah dan tanpa air mata menginsafkanku erti sebuah kehidupan dan kematian yang pasti. Tabahkan hatimu menempuh hari-hari yang mendatang. Semoga Allah memberi ketabahan dan memberkati hidupmu selalu.
Tetamu Senja: Setiap yang hidup sudah ditetapkan tarikh matinya. Tida siapa dapat mengjangkakan bagaimana pengakhiran hidup masing-masing.Semoga diri ini sentiasa mengingati mati yang pasti datang menjemput pulang. Kerana itulah diriku hanya sebagai tetamu senja. Akan pergi pabila malam menjemputku pulang. Semoga husnulkhatimah menjadi penyudah dan permulaan hidup di alam abadi. AL-FATIHAH.


0 comments:
Post a Comment