Friday, May 25, 2007

Benih yang tabah

Saya begitu tertarik dengan gambar ini. Benih ini berjaya membuatkan saya berfikir maksud yang tersirat di sebalik kejadiannya. Menurut jurugambar yang merakamkannya (Credit to Suhairi @ aieshorinji), benih itu juga berjaya menarik fokus lensa kameranya supaya merakam keajaiban dan seribu satu rahsia yang terkandung di sebalik kewujudannya di situ. Bagi gambaran yang menyeluruh, kawasan di sekitar benih ini kering kontang, lapang dan bertanah merah. Tiada tumbuhan hijau lain di sekitarnya. Sesiapa yang melihat benih ini pasti akan tersenyum melihat kesegarannya di tengah-tengah kekontangan tanah di sekitarnya.

Salah satu maksud tersirat adalah kegigihan benih ini bagi meneruskan hidup begitu terkesan. Terlalu banyak maksud yang tersirat. cuba kaitkan ia dengan kehidupan kita di tengah-tengah arus yang semakin mencabar. Kehidupan tidak terjejas sekiranya asas ataupun benihnya baik dan kukuh. Bak kata pepatah, benih yang baik walaupun jatuh ke mana sekalipun akan memberi manfaat. Terlontar ke langit menjadi bintang dan tenggelam di lautan menjadi mutiara.

ia juga lambang permulaan sebuah kehidupan setelah kisah silam menodai kesucian. Setelah kita banyak melakukan kesilapan yang memusnahkan diri, kita perlu memulakan kehidupan yang baru.
Kenapa begitu? Tanah asal benih ini tumbuh adalah kawasan yang dicadangkan untuk pembangunan tetapi terbengkalai. Selepas semua kebahagian diragut, kita perlu memulakan hidup baru seperti benih ini yang cuba membuat anjakan paradigma kepada kawasan sekelilingnya supaya tidak terus mundur dan tandus.

Banyak lagi pengajaran yang dapat diambil daripada kisah sepohon benih ini sekiranya kita adalah orang yang mahu berfikir tentang kehebatan Allah di atas segala penciptaanNya.

Malulah pada benih ini sekiranya kita asyik mempersoalkan tentang hidup dan kesusahan lantas kecewa, kerana Allah memberikan kita kesusahan sesuai dengan kemampuan kita.

Tetamu Senja: Benih yang baik walau digetas-getus oleh binatang buas akan tetap menumbuhkan tunas.

1 comments:

Saya said...

Terima kasih di atas kunjungan ini. Jangan segan untuk berkunjung dan meninggalkan pesanan buat saya bagi meneruskan perjuangan yang penuh mehnah dan cabaran ini.

Bersama-sama meneruskan perjuangan.


Blogspot Template by Isnaini Dot Com. Powered by Blogger and Supported by Home Interiors