Sunday, June 10, 2007

Indahnya Poligami


Buat semua pembaca...MOGA KITA BERLAPANG DADA

Bahan ini dipetik daripada blog yang saya lawati dua tahun yang lepas. Saya sudah lupa linknya tetapi apa yang hendak disampaikan amat bermakna untuk dijadikan panduan.

Berpoligami mudah dilaksanakan jika lelaki dan wanita benar-benar faham akan perlaksanaannya dalam Islam. Poligami adalah hukuman yang datang daripada Allah untuk umatnya supaya masyarakat hidup aman damai dalam institusi keluarga. Hukuman yang Allah turunkan memang sudah cantik dan lengkap namun lelaki & wanita tidak berjaya melaksanakannya dengan baik.

Poligami ini diibaratkan sebuah projek yang melibatkan seorang lelaki dan 2 orang wanita sebagai ketua & ahli yang dinamakan Projek Rumahku Syurgaku. Oleh itu, perlulah ada persefahaman iman, akal dan nafsu semasa hendak menjayakan projek ini. Apabila salah seorang ahli ataupun ketua menyalahgunakan salah satu daripada iman, akal dan nafsu, maka projek ini tidak berjaya. Sebaik-baiknya bagi menjayakan projek ini sebagai projek yang sukses di dunia dan akhirat, iman dan akal perlu mengawal nafsu.

Berpoligami memang dibenarkan oleh Allah kepada lelaki dalam surah an-Nisa ayat 3
"Nikahilah oleh kamu wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga, ataupun empat. Tetapi, jika kamu bimbang tidak akan dapat berlaku adil, maka nikahilah seorang sahaja ataupun kamu nikahi budak-budak (hamba) yang kalian miliki. Hal itu adalah lebih dekat pada sikap tidak berbuat aniaya.”

S: Ustaz, Suami saya ingin berpoligami ustaz, apa kurangnya saya ustaz sehingga dia hendak berpoligami lagi. Tidak cukup satu, dia hendak tambah isteri pula?

J: Tujuan berpoligami tidak semestinya hendak menunggu kekurangan isteri baru boleh berpoligami. Antara tujuan murni berpoligami adalah suami hendak ikut apa yang Tuhan anjurkan di dalam Quran. Sebab hendak tegakkan sunnah Rasulullah. Sebab hendak ikut tradisi orang soleh.

S: Tapi ustaz, yang ini hendak ikut sunnah, yang lain tidak pula ikut.

J: Yang dia sembahyang, puasa itu bukankah bermakna dia sudah ikut sunnah! Apabila dia menutup aurat, menuntut ilmu, berniaga itu juga ikut sunnah. Jadi jangan mudah-mudah cakap suami tidak ikut sunnah. Jadi apabila dia hendak tegakkan sunnah poligami ini, itu tidak sepatutnya kita halang.

S: Yalah ustaz, masalahnya bolehkah dia adil?

J: Jangan kita sebut soal adil dahulu, sebab kita tidak tahu lagi. Sepatutnya kita berbaik sangka dengan Allah moga Allah beri kekuatan kepada suami kita menjadi orang yang adil. Selepas itu, tugas kita pula membantu suami menjadi adil. Bukan kita main lepas tangan. Mungkin kita hendak tutup kelemahan kita, kita tuding jari suami tidak adil sedangkan dia belum lagi berpoligami, sudah kita label dia sebagai tidak adil dalam berpoligami. Sebaik-baiknyalah kita menyebut kita lemah dan tidak mampu hendak berpoligami daripada terus menghalakan kerisauan kepada suami. Sepatutnya kita halakan pada diri, masalah aku bagaimana? Seperkara yang kita perlu ingat, soal adil ini, ada seorang isteri kena adil. Dua isteri pun kena adil. Soal adil ini luas dan tidak perlu tunggu poligami baru timbul soal adil.

S: Bukan apa ustaz, saya sayang sangat pada dia. Tidak gamak saya hendak lepaskan dia pada orang lain.

J: Saya hendak betulkan sedikit. Bukan lepaskan terus. Ia sekadar berkongsi kasih sayang. Kalau dulu kita seorang sahaja yang menyayanginya atas nama isteri. Tetapi kali ini sudah ada orang lain, yang juga menyayanginya atas nama isteri. Saya hendak tanya, apa erti sayang? Sayang ertinya pengorbanan. Jangan sebut sayang ataupun cinta selagi tidak berkorban. Sanggupkah kita mengorbankan kasih kita itu? Kalau boleh, barulah bermakna sayang kita itu.

Seperkara lagi, erti sayang itu ialah apabila kegembiraan dia juga menjadi kegembiraan kita.
Kesedihan dia pula menjadi kesedihan kita. Sepatutnya hati kita selari dengan suami kita. Kalau suami kita hendak berpoligami, tumpang gembiralah. Itu kesukaan suami kita dan syariat pun membenarkannya. Tetapi saya tidak menafikan, perkara yang lain mungkin senang. Tetapi bab ini susah sedikit.

S: Saya bimbang ustaz, dengan isu yang digembar-gemburkan dalam akhbar berkenaan lelaki yang berpoligami menganiaya isteri.

J: Jangan sebut begitu, sekali lagi ditekankan di sini, berbaik sangkalah dengan Allah. Jangan kita samakan nasib kita dengan orang lain. Bergantung haraplah pada Allah. Yakinlah kita dengan Allah, Dia yang menentukan segalanya. Oleh itu, mintalah kebaikan daripada Dia. Tambahan pula, kisah rumah tangga porak-peranda tidak semuanya berlaku dalam poligami. Yang tidak berpoligami pun biasa kita dengar, porak-peranda juga. Tinggal lagi, akhbar memang suka highlight yang poligami sahaja. Bahkan banyak kes yang tidak berpoligami di mana suami menganiaya isteri. Ini tidak pula dipaparkan.

S: Dengan saya seorang pun, dia susah ustaz. Jadi macammana pula hendak poligami, tidakkah nanti lagi susah hidup dia.

J: Itulah yang disebutkan tadi, segalanya daripada Allah. Yang mula-mula puan kahwin dengan dia dulu, ada ataupun tidak puan fikir tentang hidup susah. Mestilah atas dasar yakin yang boleh hidup senang. Segalanya ketentuan Allah. Rezeki itu daripada Allah. Ibu-ibu boleh melahirkan anak, kerana mereka yakin rezeki Allah pada anak-anak. InsyaAllah, ada rezeki untuk orang yang berpoligami.

Sejarah juga membuktikan sahabat-sahabat dan para tabiin berpoligami tetapi mereka tidaklah mati kebuluran kerana berpoligami. Susah senang ini bukan pada ukuran poligami. Ada yang isteri seorang pun merempat juga. Sebaliknya ada juga yang isteri 4, boleh hidup senang. Tidak perlu tunggu suami gaji RM10,000. Memang Allah sudah janjikan sebegitu.

S: Baiklah ustaz, tetapi apapun dia kena minta izin saya dahulu. Saya isteri pertama dia, kalau saya tidak izinkan, mana boleh dia poligami.

J: Itu undang-undang syariah negeri tetapi tidak ada disebut pun dalam Quran mahupun hadis. Soal keizinan tidak timbul sebab dalam Quran, Allah sudah izinkan. Rasulullah pun sudah izinkan malah diamalkannya pula. Jadi, siapa kita? Takkan kita pula tidak izinkan? Siapakah kita hendak mempersoalkan hukum yang Allah sudah tetapkan? Boleh nampak ataupun tidak?

S: Memang berat ustaz. Baiklah saya mengaku saya tidak mampu menghadapi semua ini.

J: Sebenarnya inilah jalan untuk wanita seperti puan meningkatkan darjat puan. Jika setakat ada suami dan puan pun pergi kerja balik kerja, mungkin hidup puan tidak ada banyak ujian dan cabaran. Tetapi apabila berpoligami, puan kena banyak mujahadah. Maksudnya ada ujian. Puan ada rasa tercabar. Puan perlu banyak bersabar. Di sinilah peningkatan untuk puan, insyaAllah. Mana yang lebih besar, suami puan ataupun peningkatan puan di sisi Allah? Di sini baru terserlah kebaikan poligami sebab ia satu cara hendak meningkatkan takwa. Jika dengan ibadah mungkin prosesnya lambat. Tetapi dengan poligami, ia menjadi cepat.

S: Terima kasih ustaz. Berikanlah nasihat akhir ustaz pada saya.

J: Mengapa puan jadi begini sebab selama ini? Sebabnya bagi puan, suami itu adalah segala-galanya. Itu perlu diubah. Suami bukan segala-galanya. Sebaliknya, Allah adalah segala-galanya. Ketahuilah kita, selama ini kita sudah membesarkan perkara yang kecil. Suami itu sekadar hadiah daripada Allah untuk kita. Dia boleh datang dan pergi dalam hidup kita. Tetapi jangan sampai Allah kita pinggirkan ataupun kita kesampingkan. Jika tidak berlaku poligami, kita tidak nampak perkara ini. Usahakan supaya kita kuat dengan Allah, insyaAllah nanti kita akan kuat menghadapi perkata dunia seperti poligami. Berdoalah pada Allah dengan doa ini:

"Ya Allah! Aku mahukan redhaMu Tuhan. Seandainya dengan poligami ini aku akan mendapat redhaMu, aku bersedia. Namun, aku lemah ya Allah, aku tidak mampu. Kau bantulah aku ya Allah bagi menghadapi poligami ini. Bantulah aku supaya aku berbaik-baik dengan maduku. Dan bantulah aku untuk sentiasa dapat menyenangkan suamiku. Juga, bantulah suamiku untuk menjadi kuat denganMu ya Allah, moga-moga dengan itu, dia dapat berlaku adil kepada isteri-isterinya.
Moga-moga dengan itu, kami sekeluarga mendapat kebahagiaan yang hakiki daripadaMu."

Tetamu senja: Antara tanda keberkatan seseorang wanita itu ialah, cepat perkahwinannya,cepat pula kehamilannya dan ringan maharnya.

7 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum.

Membaca apa yang ditulis di sini boleh sejuk perut para isteri yang masih belum bermadu. Tapi kalau dibaca pula novel Merantau Ke Deli... aduhai... aduhai... betapa lidah manusia tidak bertulang...

Saya said...

itulah seperti yang dihighlightkan, kita menyalahgunakan Iman, akal dan nafsu. Jika kita jaga ketiga2nya, kita tidak akan memeprsoalkan lagi segala hukum yang ditetapkan oleh Allah.

Imran Yusuf said...

Assalamu'alaikum Sdr Tetamu Senja,

Syabas di atas komen sdr yang kemas, lancar dan bernas.

Anonymous said...

Maaf, saya berpendapat post ini begitu bias. Banyak isu lain yang perlu diberi penekanan. Yang menjadi mangsa poligami yang tidak dikendalikan dengan wajar adalah generasi akan datang. Betapa ramai yang hancur akibat perkara ini. Yang patut diberi penekanan adalah tanggungjawab pertama yang perlu dilaksanakan terhadap keluarga..mendidik anak dan isteri. Kalau dilaksanakan dengan betul, pasti tak cukup masa untuk berpoligami. Kalau poligami ini sesuatu yang begitu diutamakan, melebihi amalan lain, masakan Rasulullah menyatakan ketidakpuasan hatinya apabila Fatimah mengadu kepada baginda yang Ali berniat untuk membuka cawangan satu lagi. Prioriti, brother. Prioriti.

MDM FARAH FAIZURA said...

Saya adalah mangsa poligami

haha

Saya said...

Terima kasih tuan alang, tahniah juga atas kejayaan buku pertama, Di bawah Payung Aisyah yang bakal menemui peminatnya yang tertunggu-tunggu.

Ananymous, kita tidak akan bisa memuaskan hati semua orang. Tetapi kita cuba menunaikan peraturan Allah sebaik mungkin dan poligami juga adalah peraturan dan jalan keluar yang disediakan. Alhamdulillah di atas segala kegembiraan dan kesedihan yang ditakdirkan.

Sdr Dingin,
mangsa poligami??? boleh diterangkan?almaklumlah saya ini masih blur.

Farrah UNIMEL said...

melihat dari sudut pro dan kontra (positif dan negatif). tapi jangan sampai menolak hukum Tuhan. yang halal jangan diharamkan, malah yang jijik tapi dipandang biasa. sekadar pandangan...tulisan yang menarik..


Blogspot Template by Isnaini Dot Com. Powered by Blogger and Supported by Home Interiors